/
3 Comments
Assalamu'alaikum,

Apakah perkhabaran semua? Alhamdulillah masih bernyawa kita lagi sehingga ke saat ini dengan rahmat dan kasih sayangNya. Baiklah, posting kali ni saya nak berkongsi tentang kehidupan, suka duka, cabaran, dan yang paling penting tanggungjawab seorang munsyid@penasyid dalam misi dakwahnya.

Dakwah itu luas. Dakwah itu banyak cabang dan caranya. Dakwah boleh berlaku melalui lisan, melalui perbuatan, tindak balas, tulisan, ciptaanNya di sekeliling kita, dan banyak lagi. Yang paling penting ialah apakah matlamat serta siapakah golongan sasaran untuk didakwah ataupun diajak kepada kebaikan itu?

Berdakwah kepada orang bukan Islam adalah bertujuan untuk mengajak mereka mengenal Tuhan yang sebenar iaitu Allah S.W.T dengan menceritakan segala nikmat, kelebihan, keindahan dan keajaiban yang diciptakanNya, dikurniakanNya, dan dipertunjukkan kepada kita. Berdakwah kepada sesama Islam adalah bertujuan untuk selalu saling memperingatkan tentang tujuan kita dijadikan sebagai hamba yang memegang title 'Muslim' dan perlunya mengamalkan cara hidup sebagaimana yang diajarkanNya melalui perutusan Nabi Muhammad S.A.W.

Untuk menjadi seorang pendakwah sememangnya memerlukan ilmu yang cukup & teknik yang berkesan untuk memastikan apa yang ingin kita sampaikan berjaya. Para pendakwah yang selesa duduk di kalangan orang-orang yang baik ataupun soleh dan solehah tanpa memikirkan perlunya dia untuk keluar dari comfort zone tersebut sebenarnya adalah golongan yang rugi. Ini adalah kerana bilamana pendakwah tersebut dikurniakan kelebihan oleh Allah S.W.T mungkin dari segi penyampaiannya yang berkesan, atau cara pergaulannya yang bagus, atau apa sahaja, maka dia perlu menggunakan segala kelebihan tersebut untuk tujuan dakwah kepada golongan sasaran yang lebih memerlukannya.

Sebagai seorang Muslim apatah lagi bergelar penasyid, saya dan rakan-rakan seperjuangan sememangnya memikul satu tanggungjawab yang maha besar iaitu memastikan Islam diterima oleh semua individu, Islam diamalkan oleh semua manusia, Islam dijadikan cara hidup setiap orang, dan yang paling penting menjaga identiti Islam yang kami bawakan.

Apa yang saya perhatikan melalui pelbagai aktiviti atau acara yang menggandingkan para penasyid dan golongan yang 'bukan berlatar belakangkan agama', maka para penasyid lebih selesa bergaul dengan 'jenis' mereka sahaja. Para penasyid ini jadi seolah-olah kera sumbang yang berpendirian 'malas nak layan orang-orang macam tu' mungkin dek kerana penggunaan bahasa perbualan kita berbeza, mungkin para penasyid ini selesa berbual dengan 'ana enta' dan mereka orang-orang di pihak sana pula alah dengan 'gua lu', para penasyid ni duduk sememangnya berpakaian sopan manakala di pihak sana golongan-golongan itu berpakaian terdedah sana dan sini serta bukan sahaja tidak menutup aurat malahan hampir pula ditelanjangkan semua, atau mungkin penasyid-penasyid ini merasakan malu untuk bergaul dengan golongan-golongan di sana kerana 'takut dibenci' atau 'takut diboikot' bila kita mula bersuara tentang Allah, tentang Islam kepada mereka. Apabila perkara semacam ini berlaku, maka di manakah ruang dakwah yang kita cuba isi tersebut?

Berdakwah kena ada tekniknya. Janganlah nak cerita dakwah kepada non-Muslim kalau sesama Islam sendiri pun kita tak berani nak pecahkan sempadan diri dengan cuba ambil kesempatan bergaul dengan 'golongan Muslim yang dah lupa cara hidup Islam'. Nak berdakwah kena berani, kena ada semangat, dan kena tahu caranya. Saya kagum dengan otai nasyid yang saya sanjung sampai sekarang iaitu almarhum Ustaz Asri Ibrahim (Rabbani) dan juga Ustaz Nazrey Johani (Raihan).

Mengikut pengalaman saya sendiri bersama dengan Devotees sewaktu kami mengikuti Road Tour AIM 18, penglibatan Ustaz Nazrey sememangnya wajar dijadikan contoh kerana beliau langsung tidak memilih bulu dalam bergaul dengan pelbagai ragam manusia terutamanya artis-artis yang datang dari pelbagai latar belakang, warna kulit, dan warna rambut. Duduk di meja makan bersama, dalam masa berbual akan ada ceritanya yang menjadi isu, dan dalam masa yang sama ada tarbiyah yang diselitkan. Biarlah berbual tentang dunia, tentang kehidupan seharian, tentang kisah semalam, atau tentang pengalaman-pengalaman yang lucu, namun di antaranya pasti ada sedikit tentang Islam yang akan dicampurkan bagi menyulam cerita. Jadi di situlah sebenarnya dakwah kita yang Allah akan pandang.

Sebenarnya ini adalah masalah yang berlaku di kalangan kebanyakan penasyid tanahair. Saya tak ingin bersuara di facebook untuk masalah ini kerana al maklumlah, saya masih baru dan hijau dalam dunia seni nasyid, layakkah pula nak bersuara melebihi mereka-mereka yang dah berpuluh tahun jadi penasyid sebelum saya sendiri pun lahir ;-) Bayangkan kalau penduduk Islam Malaysia ada sekitar 10 juta orang, 1 juta sahaja yang betul-betul menyempurnakan cara hidup Islam, kalaulah para penasyid ini tidak memilih untuk menjadi orang yang selesa berdakwah kepada 'muslimin dan muslimat' yang telah sedia tertarbiyah sahaja lalu bersedia untuk berjuang berdakwah kepada 9 juta orang lagi, InsyaAllah dakwah itu akan sampai. Mudah-mudahan luahan ini dapat diambil dari sudut positif. Saya tidak bertujuan menghentam mana-mana pihak, cuma saya harapkan para penasyid tidak terlalu selesa dengan orang-orang di sekeliling kita yang telah sedia tertarbiyah sedangkan di luar sana lebih ramai berpuluh kali ganda yang semakin hari semakin sesat jauh dari Allah. Sekian, terima kasih kerana membaca :) Assalamu'alaikum.


You may also like

Assalamu'alaikum, Apakah perkhabaran semua? Alhamdulillah masih bernyawa kita lagi sehingga ke saat ini dengan rahmat dan kasih sayang...

3 comments:

mujahadah solehah said...

salam ziarah~biiznillah
moga istiqamah menuju syahidNya~amiin..

chAq said...

Assalamu'alaikum...
Saya cuma nak selit sedikit.Apabila kita sudah mula bekerja, kita tetap menjadi daie, walaupun sesibuk mana pun pekerjaan kita. Walaupun SEJAHILIAH manapun tempat kita bekerja itu.
Mungkin di sini saya nak berkongsi sedikit (memandang mungkin ramai pembaca di blog Halim), kehidupan kerja yang di keliling dengan ramai orang yang bukan Islam membuatkan diri rasa sedikit kebelakang untuk menyampai sesuatu yang baik walau hakikatnya diri sendiri pun masih mencari-cari ke arah lebih baik.. Kadang-kala payah, sebab dari dulu waktu di tanah air banyak latih diri sekurang-kurangnya mengingatkan pesakit untuk bersolat (contohnya), beri nasihat berkaitan kifarah sakit tu dsb. Paling penting saya rasa, kita sendiri kena tunjukkan nilai-nilai murni yang Islam suruh kita praktik dan beri contoh pada mereka melalui perwatakan mereka. What do's and don'ts. It's takes time to encourage them to understand semuanya tapi day by day buka mata diorang yang Islam tu very beautiful. Memantapkan ilmu pun satu dakwah kepada diri dan berkongsi dengan orang lain.
Dan satu lagi, selalunya bila keluar berjalan-jalan menaik Tube atau train ke mana-mana, jika bersama sahabat2x, kami terapkan untuk berdiskusi di dalam tube/ train dalam bahasa Inggeris berkaitan Islam. Alhamdulillah, pernah sekali coach train yang kami naik sunyi dan rata-rata sedang mendengar apa yang kami bincangkan. Bagi saya, dari situ mampu menarik minat orang asing untuk mengenal Islam. Bahkan bila kita sesama sendiri, dan berdiskusi bersama sedikit sebanyak mampu menambah ilmu di dada. Allahu'alam.

"Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Dia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan. (Anfal : 24)".

Sekadar berkongsi, saya sangat tertarik dengan topik dakwah ni. Kita semua mampu menjadi magnet untuk menarik ramai lagi manusia untuk lebih mengenal Islam.
Perbetulkan saya andai ada yang silap.
Saya doakan agar Halim dan seluruh munsyid mampu menjadi daie yang terbaik untuk diri dan masyarakat.

Sarah Azizul said...

Salam, pesan seorang murabbi, Yang menjatuhkan Islam adalah umatnya juga..maka dakwah sesama Islam perlu diperkuatkan. Seorang pemerhati dari Barat (terlupa namanya) ..kata dia, " ku lihat Agama Islam ini cukup PENUH, tetapi penganutnya KeKOSONGAN".

Ayuh! semua orang...kita amalkan hidup bersyariat,dunia akhirat anda selamat. Teruskan "berjalan tanpa henti"